Wednesday, September 21, 2011

TALIQ TALAQ KETIKA KEADAAN TERPAKSA

Perkongsian satu artikel yang saya perolehi ketika saya menuntut dahulu, sebagai perkongsian maklumat bersama:-

"FAKTA KES :
- Isteri kerap melakukan perkara-perkara yang memudharatkan suami dan harta benda. Seperti mencederakan suami serta merosakkan harta benda suami kerana cemburu

- Isteri menuduh suami akan berkahwin lagi.

- Suami mengalami tekanan akibat daripada kelakuan yang ditimbulkan oleh isteri,

- Rentetan dari perkara tersebut suami terpaksa melafazkan ta’lik talak “jika aku kahwin lagi maka kau akan tertalak” bertujuan untuk mencegah isteri dari berterusan melakukan perkara-perkara tersebut.
PERSOALAN :
a- Adakah jatuh talak sekiranya syarat ta’lik tersebut berlaku?
b- Kesahan status ta’lik talak tersebut?
Pengenalan :
Dr. Wahbah Zuhaili telah membahagikan talak kepada tiga bentuk iaitu talak segera

( munjiz), talak Mudhaf (bersandarkan kepada masa) dan Mu’allaq (bersyarat).

1- Talak Segera :
Talak segera bermaksud talak yang dilafazkan oleh suami kepada isteri secara langsung tanpa mengandungi syarat dan sandaran masa. Talak ini terbahagi kepada dua bentuk :



1- lafaz secara terang (soreh) contoh suami berkata “ aku talak kau.”

2 - lafaz secara sindiran (kinayah) contoh suami berkata “aku lepaskan kau”.

Ulamak telah bersepakat bahawa jatuh talak secara segera sekiranya suami melafazkan talak secara terang sekiranya suami memenuhi syarat untuk menjatuhkan talak.

Dalam lafaz talak secara sindiran pula ulama telah berselisih pendapat sama ada jatuh talak secara segera atau tidak.

Jumhur ulama berpendapat bahawa talak jatuh secara segera sekiranya suami ada niat untuk menjatuhkan talak kepada isterinya.
2- Talak bersandarkan kepada masa :

Talak bersandarkan kepada masa bermaksud talak yang dibuat bersandarkan kepada masa akan datang atau masa lalu.

A. Sandarkan talak pada masa hadapan:

Contoh talak yang disandarkan pada masa hadapan, suami berkata “engkau tertalak esok”. Contoh talak yang yang disandarkan pada masa lalu, suami berkata “engkau tertalak kelmarin”.

Bagi talak yang disandarkan pada masa hadapan, talak akan jatuh ketika datangnya masa yang telah disebut oleh suami.

B. Sandarkan talak pada masa lalu:
Manakala talak yang yang disandarkan pada masa lalu ulamak telah berselisih pendapat sama talak jatuh atau tidak.


3- Talak Mu’allaq (gantung) :

Mu’allaq adalah istilah arab yang bermaksud gantungan kepada sesuatu samada perkara atau benda. Talak mu’allaq atau dikenali juga dengan talaq yang bersyarat ta’liq (talak ta’lik) bermaksud talaq yang dijatuhkan kerana digantung kepada sesuatu perkara dan perkara tersebut berlaku pada masa akan datang. Dalam talak tersebut diselit dengan perkataan yang digunakan untuk pensyaratan seperti jika, apabila, bila dan kalau.

Contoh suami berkata kepada isterinya, “jika kamu masuk ke dalam rumah si Polan maka kamu akan tertalaq” atau “jika kamu keluar daripada rumah tanpa izinku, maka kau akan tertalak”.

Dalil yang digunakan oleh ulama’ :

Sabda Rasullullah SAW :
Bermaksud : orang-orang Islam berpegang dengan syarat mereka


Syarat-syarat ta’liq untuk jatuh talak :
1- Syarat ta’liq tersebut hendaklah mungkin berlaku atau mungkin tidak berlaku.

Contoh “jika kamu masuk ke rumah itu kau akan tertalak”. Masuk ke rumah tersebut mungkin berlaku dan mungkin tak berlaku.
Sekiranya perkara yang dita’liqkan itu suatu perkara yang mustahil seperti terbang, berjalan atas air dan seumpamanya, serta menggunakan ta’liq dengan kehendak Allah SWT maka talak tidak jatuh menurut jumhur ulama’. Contoh “jika kau boleh jalan atas air kau akan tertalak” atau “jika kau keluar dari rumah ini kau akan tertalak insyaallah”.
2- Berlakunya Syarat Tersebut..

Iaitu berlakunya syarat yang digantung atau diletakkan.



3- Adanya Mahal Ta’liq :

iaitu perempuan masih merupakan isteri kepada pelafaz atau masih berada dalam iddah.



Rujukan :Dr Wahbah Zuhaili, Feqh Islami Wa Adillatuhu,(terj) jilid, 7



Ini bermakna ta’lik syarat yang di buat pada lafaz talak yang memenuhi syarat-syarat yang telah disebut di atas, akan menyebabkan jatuhnya talak jika syarat tersebut berlaku.



Manakala ta’lik syarat yang di buat pada lafaz talak, yang tidak memenuhi syarat-syarat di atas, tidak akan menyebabkan jatuhnya talak jika syarat tersebut berlaku.


Dalam kes ini, jika dilihat secara umum, jelas sekali akan jatuhnya talak sekiranya suami berkahwin dengan mana-mana perempuan yang bukan mahram. Ini kerana kesemua syarat ta’liq telah dipenuhi untuk jatuhnya talaq.
Akan tetapi jika diteliti dengan mendalam, terdapat elemen lain yang terkandung dalam situasi kes tersebut iaitu suami seolah-olah terpaksa melafazkan ta’liq talak tersebut, rentetan dari sikap isterinya dan tujuan atau maksud lafaz tersebut dilafazkan.
Dengan itu, sebelum sesuatu hukuman diputuskan, kesemua fakta kes perlu dianalisa dan diambilkira. Ini bertujuan untuk mengelak berlakunya tersalah dalam menjatuhkan hukum. Seperti yang telah maklum bahawa hukum berbeza mengikut tempat ,masa dan situasi. –qawaid feqh-

Dalam kes ini, terdapat dua keadaan yang perlu di ambil kira sebelum memutuskan hukum jatuh talak atau tidak iaitu :
Keadaan Pertama : Keterpaksaan
Keadaan Kedua : Tujuan Lafaz
Huraian Keadaan Pertama : Keterpaksaan


Dalam kes ini suami mengalami tekanan dan terpaksa melafazkan ta’liq talak tersebut untuk mengelak isteri dari terus memudharatkan dirinya dan harta bendanya.
Sebelum merungkai isu ini, adalah terbaik jika meneliti pandangan ulamak mengenai paksaan yang di buat dalam lafaz talak.
Pendapat ulamak mengenai paksaan dalam melafazkan talaq.
Ulamak telah bersepakat bahawa talak akan jatuh sekiranya pelafaz memenuhi syarat-syarat sah yang telah di tetapkan. Syarat-syarat yang telah disepakati oleh ulama adalah seperti berikut :

1- Ada pertalian nikah.

2- Sempurna akal.

3- Dengan Kehendak sendiri (pilihan bukan paksaan)


Ini bermakna talak akan jatuh sekiranya kesemua syarat-syarat berikut telah dipenuhi oleh pelafaz talak.
Paksaan dalam Talak

¬Adakah jatuh talak sekiranya di paksa melakukannya?

Berdasarkan syarat-syarat di atas, talak yang dilafazkan mengandungi “unsur-unsur paksaan” tidak jatuh kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah jatuh talak.


Antara bentuk-bentuk paksaan yang boleh diterima untuk tidak jatuh talak ialah :
a- Paksaan yang bukan hak, sekiranya hakim yang paksa kerana untuk hilangkan mudharat pada isteri maka talak akan jatuh. Ini kerana hakim mempunyai hak untuk memaksa.

b- Ancaman akan berlaku secara langsung- jika tak dilakukan perkara tersebut akan mudharatkan orang yang dipaksa.
c-Pengancam mampu untuk lakukan perkara tersebut.

Bentuk-bentuk paksaan ini diiktiraf oleh syarak dalam semua perkara. Ia adalah bertujuan untuk menjaga maqasid syariah iaitu agama, diri, akal, harta, nasab dan maruah melainkan dalam perkara-perkara tertentu seperti dalam kes jenayah.

Dalil-dalil tak jatuh talak sekiranya dipaksa :


1- Sabda Rasulullah saw :
Bermaksud :

Tidak jatuh talak dan tidak bebas (hamba) dalam paksaan.
Diriwayatkan oleh Ibn majah dalam bab talak terpaksa dan terlupa.
2- Sabda Rasulullah saw :

Bermaksud :

“Allah Taala memaafkan hambanya yang tersilap, terlupa dan apa yang dipaksa ke atasnya”

Berdasarkan hadis tersebut, jelas sekali menunjukkan apa jua perkara yang dilakukan secara tersilap, terlupa dan dipaksa tidak mendatangkan kesan hukum ke atas seseorang kerana syarak memaafkan perkara tersebut.

Ini bermakna syarak tidak mengiktiraf sesuatu perkara yang dilakukan untuk di jadikan tanggungan yang diselit dengan unsur-unsur tersilap, terlupa dan dipaksa.

Dengan itu, talak yang dipaksa ke atas seseorang untuk dilafazkan tidak jatuh kerana tidak diambilkira oleh syarak untuk disabitkan. Ini kesan dari unsur paksaan (yang diiktiraf syarak) terdapat ketika melakukan lafaz talak tersebut.

Dalam kes ini suami telah melafazkan ta’liq talaq kepada isterinya dalam keadaan terpaksa dan cuba menghalang kemudharatan terus berlaku kepada dirinya dan hartanya.

Terdapat kaitan antara kes ini dengan talak yang dibuat secara paksa, iaitu keduanya berlaku dalam keadaan terpaksa. Sekiranya syarak tidak mengiktiraf jatuhnya talak yang dibuat dalam keadaan terpaksa, sudah pasti syarak juga tidak mengiktiraf jatuhnya talaq dari ta’liq yang dibuat secara paksa.

Ini bermakna, lafaz ta’lik talak yang di buat kerana terpaksa, tidak mengakibatkan jatuhnya talak walaupun sifat atau syarat tersebut berlaku. Ini kerana syarak tidak ambil kira “tanggungan” yang di buat dalam keadaan paksa. Ini berdasarkan kedua hadis di atas dan juga bertujuan memelihara maqasid syariah iaitu agama, akal, diri, harta, maruah dan keturunan.


Sekiranya jatuh talak tersebut berdasarkan ta’liq yang dibuat secara terpaksa, sudah pasti menyalahi maqasid syariah yang dijamin oleh syarak kepada manusia untuk menjamin kemaslahatan umat manusia dan mengelak kemudharatan. Perkara ini dikuatkan lagi dengan kes : “Amar bin Yassir di paksa untuk keluar dari islam oleh kafir Quraish, setelah di ancam dan di paksa Amar mengaku keluar dari Islam akan tetapi hatinya masih tetap berpegang teguh dengan Islam.” Hal ini dirujuk kepada Rasulullah SAW lalu turun wahyu yang menyatakan perkara tersebut tidak salah selagimana hatinya berpegang teguh dengan Islam.

Dengan itu, talak yang dibuat secara ta’lik dalam paksaaan tidak jatuh dan dengan sendirinya status lafaz ta’lik talak tersebut adalah terbatal disebabkan terdapat unsur yang menghalang kesahan lafaz ta’lik tersebut iaitu “paksaan”.

Huraian Keadaan Kedua : Tujuan Lafaz
Dalam situasi seperti ini, timbul persoalan berkenaan maksud atau tujuan yang digunakan oleh suami untuk melafazkan ta’liq talak tersebut. Adakah tujuan suami semata-mata bersumpah bagi menghalang isterinya terus memudharatkan dirinya dan hartanya atau tujuannya seperti ta’liq biasa yang benar-benar mempunyai niat untuk mentalaqkan isterinya.

Berkaitan dengan isu ta’lik talak ini juga, timbul persoalan sekiranya seorang suami bersumpah menggunakan lafaz ta’lik talak dalam satu perkara. Contoh seorang suami bersumpah di hadapan isterinya “sekiranya aku kahwin lagi maka kau akan jatuh talak satu”.

Adakah talak akan jatuh sekiranya pelafaz tersebut melanggar sumpah atau hanya dikenakan kafarah sumpah atau tidak mendatangkan apa-apa kesan rentetan dari lafaznya?

Pandangan Ulama Dalam Perkara Ini.
Melihat kepada kebanyakan karangan fuqaha terdahulu, mereka tidak banyak membincangkan isu berkenaan dengan lafaz ta’lik talak secara mendalam. Ini berkemungkinan isu tersebut tidak banyak timbul di zaman mereka. Apa yang di bincangkan hanyalah sekadar perkara asas yang berkaitan dengan lafaz ta’lik talak tersebut
Ibn Taimiyyah dan kitabnya Fatawa Kubro telah mengupas isu ini dengan mendalam. Pendapat beliau dalam kitab tersebut telah disepakati oleh beberapa tokoh ulama’ kontemporari.
Menurut Ibn Taimiyyah terdapat perbezaan antara bersumpah dengan ta’lik talak dan ta’lik talak. Perbezaan tersebut adalah seperti berikut :
Pertama :

Ta’lik yang dibuat bertujuan untuk menjatuhkan talak.


- Iaitu pelafaz benar-benar inginkan balasan (jatuh talak) sekiranya syarat tersebut dilanggar walaupun dia membenci syarat tersebut berlaku atau membenci balasan tersebut berlaku atau kedua-duanya (benci syarat dan benci balasan). Contoh :

1-sekiranya kau berzina atau mencuri maka kau tertalak.

2-sekiranya kau sakiti aku lagi maka kau tertalak.

- Bentuk ta’lik talak yang di buat ini (inginkan balasan jatuh talak) akan mengakibatkan jatuhnya talak jika berlaku syarat atau sifat tersebut.

- Ini adalah bentuk ta’lik talak yang sempurna bukannya berbentuk sumpah.



Kedua :

Ta’lik yang di buat bertujuan untuk bersumpah :
- iaitu pelafaz bermaksud untuk bersumpah tanpa inginkan balasan (jatuh talak) tetapi disebut syarat dan balasan bertujuan supaya dijauhi kedua perkara tersebut.

- tujuan sumpah ta’lik ialah untuk mencegah perbuatan tersebut dan menakutkannya dengan sumpah. serta tidak bermaksud untuk jatuhnya talak jika melanggar sumpah tersebut.

- contoh : seorang lelaki berkata kepada isterinya “jika kau keluar kau tertalak” dengan niat untuk mencegahnya dan menakutkannya tanpa niat untuk mentalakkannya.



Penjelasan Ibn Taimiyyah :

Lafaz sumpah perlu mengandungi salah satu daripada elemen ini, iaitu pencegahan, membenarkan atau mendustakan. Pelafaz perlu komited bahawa dia membenci apa yang di sumpahnya iaitu syarat dan balasan. Seseorang takkan bersumpah melainkan dia membenci syarat dan balasan kepada syarat tersebut. Contoh seseorang menahan dirinya dari melakukan sesuatu bersumpah “jika aku melakukan perkara ini maka isteriku tertalak”.



Melainkan dia bermaksud dalam ta’liknya berlaku talak jika wujud syarat, maka talak akan jatuh sekiranya berlaku syarat dalam ta’lik tersebut. Contoh seorang lelaki inginkan jatuh talak jika ada syarat atau sifat ta’lik berkata pada isterinya “ jika kamu berzina maka kamu tertalak”.



Ulasan pendapat ibn Taimiyyah :



Ibn Taimiyyah berpendapat bahawa sekiranya seseorang melafazkan ta’lik talak, kita perlu melihat atau meneliti maksud (niat) pelafaz tersebut. Jika maksud pelafaz hanya untuk bersumpah maka talak tidak jatuh sekiranya dilanggari syarat tersebut. Sumpah tersebut mestilah mengandungi dorongan kepada menegah sesuatu, menyuruh atau untuk menyakinkan dan mendustakan sesuatu.



Manakala lafaz ta’lik talak yang di buat tanpa ada sebarang maksud akan mengakibatkan jatuhnya talak sekiranya syarat ta’lik tersebut di langgar.



Ibn Taimiyyah juga berpendapat, walaupun penyumpah tidak dibebankan dengan talak dia tetap dikenakan kafarah sumpah, sekiranya melanggar ta’lik tersebut.-fatawa kubro-



Terma sumpah tidak menjadi persoalan di sisi Ibn Taimiyyah. Menurut beliau terpulang kepada individu dalam mengkategorikan terma sumpah berkenaan. Sekiranya mereka menganggap bahawa terma tersebut termasuk dalam sumpah orang-orang mukmin maka jika dilanggari sumpah tersebut dikenakan kifarah. Dan sekiranya mereka menganggap terma tersebut tidak termasuk dalam sumpah yang orang-orang mukmin maka jika dilanggari sumpah tersebut tidak dikenakan kifarah.kerana sumpah tersebut tak sah.- fatawa kubro-



Rujukan : Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah, fatawa kuhro, http://feqh.al-islam.com



Pendapat fuqaha kontemporari mengenai isu ini.



Syed Sabik dalam karangan yang berjudul fekh sunnah telah membahagikan ta’lik kepada dua bahagian iaitu :


Pertama : Ta’lik sumpah
Ta’lik yang tujuannya adalah bersumpah untuk mendorong supaya dilakukan atau ditinggalkan atau menguatkan perkhabaran. Contoh seorang suami yang ingin menegah isterinya keluar daripada rumah berkata kepada isterinya “jika kau keluar dari rumah maka kau tertalak.” Taklik bentuk ini tidak jatuh talak jika di langgar.



Kedua : Ta’lik Syarat
Ta’lik ini bermaksud, jatuh talak jika berlakunya syarat ta’lik tersebut. Contoh kata suami kepada isteri “ jika kau tak izinkan aku bayar lambat mahar kau maka kau tertalak”. Ta’lik bentuk ini jatuh sekiranya dilanggar.



Rujukan : Syed Sabik, jilid tiga fekh sunnah


Dr. Wahbah Zuhaili dalam kitabnya Feqh Islami Wa Adillatuhu juga, telah membezakan antara ta’lik talak biasa dan ta’lik talak sumpah. Beliau telah bersependapat dengan Ibn Taimiyyah bahawa ta’lik talak berbentuk sumpah tidak menyebabkan jatuhnya talak jika dilanggari.



Rujukan :Dr Wahbah Zuhaili, Feqh Islami Wa Adillatuhu,(terj) jilid, 7 m/s 569-574.



Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya Al Mufassol fi Ahkam Mar’ah Wa Baitul Muslim Fi Syariah Islamiah, telah membahagikan sighah lafaz ta;lik kepada dua iaitu :


Pertama : lafaz ta’lik talak bermaksud sumpah


Kedua : lafaz ta’lik talak semata-mata tiada apa-apa maksud.

Beliau menyatakan bahawa jika seseorang melafazkan sighah ta’lik talak yang bermaksud sumpah dan tidak berniat untuk menjatuhkan talak, tidak akan menyebabkan talak terjatuh sekiranya syarat tersebut dilanggar.

Melainkan jika sighah ta’lik talak di lafazkan semata-mata tanpa ada maksud, talak akan jatuh sekiranya syarat tersebut dilanggar.



Rujukan : Dr Abdul Karim Zaidan, Al Mufassol fi Ahkam Mar’ah Wa Baitul Muslim Fi Syariah Islamiah, m/s 480-484, terbitan Muassasah Ar Risalah.



Kesimpulan Pendapat Fuqaha Kontemporari.
Mereka bersependapat sebagaimana pendapat Ibn Taimiyyah, yang menyatakan bahawa sekiranya seseorang melafazkan ta’lik talak perlu di teliti maksud (niat) sebenar tujuan lafaz tersebut. Sekiranya mengandungi elemen-elemen yang mendorong menyuruh, melarang, membenarkan dan mendustakan sesuatu perkara, talak tidak jatuh jika syarat atau sifat berlaku.

Akan tetapi jika maksud lafaz tersebut untuk menjatuhkan talak atau tiada apa-apa maksud, talak akan jatuh sekiranya syarat atau sifat berlaku.

Pendapat ini lebih praktikal jika di bandingkan dengan pendapat yang menyatakan jatuh talak jika langgar ta’lik secara umum.

Ini kerana penelitian di buat secara mendalam dalam menentukan jenis sighah yang dilafazkan, adakah sighah tersebut ta’lik talak yang sebenarnya atau sumpah yang bertujuan untuk menguatkan, menegah atau mendorong sesuatu perkara.
Menurut Undang-undang Mesir dan Syria no 25 tahun 1929,

Undang-undang Mesir, Perkara 2 dan ;

Undang-undang Syria Perkara 90 telah memperuntukkan :

“ talak yang bukan secara langsung tidak jatuh kecuali bermaksud mendorong melakukan sesuatu atau menegah melakukannya, ataupun digunakan sebagai penggunaan sumpah bagi menguatkan khabar, bukan kerana yang lain.”

Jelas sekali dalam kes ini, sighah yang di gunakan oleh suami untuk melafazkan ta’lik talak tersebut adalah berbentuk sumpah menggunakan ta’lik talak bukannya sighah ta’liq talaq yang biasa digunakan untuk mentalaqkan isteri. Ini dapat dilihat, dengan wujudnya elemen sumpah ketika lafaz tersebut dibuat oleh suami iaitu bertujuan untuk menegah isteri dari terus memudharatkan dirinya dan hartanya.

Kesimpulan
Dalam kes ini, setelah diteliti lafaz dan keadaan pelafaz ketika melafazkan “jika aku kahwin lagi maka kau akan tertalak” jelas sekali ia mengandungi perkara-perkara yang menghalang kesahan lafaz ta’lik talaq yang telah dibuat oleh suami, iaitu :
1- Keterpaksaan

2- Tujuan lafaz
Dengan itu berdasarkan lafaz yang telah dibuat oleh suami dalam paksaan dan tanpa niat untuk menjatuhkan talak, adalah tidak diiktiraf sebagai lafaz ta’lik talak yang boleh mendatangkan kesan hukum jika tidak dipatuhi.
Ini berdasarkan kesimpulan hujah-hujah para ulama yang telah di nyatakan di atas iaitu:
1- lafaz yang dibuat secara paksa tidak di ambilkira oleh syarak.


2- Sighah lafaz ta’lik talak tersebut termasuk dalam kategari sumpah dan bukan ta’lik talak yang sebenar, kerana pelafaz tidak berniat untuk mentalaqkan isterinya. Ini diikuti dengan salah satu dari tujuan atau elemen sumpah iaitu :

a. Menegah

b. Mendorong

c. Menguatkan.

Perkara seumpama ini, harus diambil kira sebelum memutuskan sesuatu hukum bagi menjamin serta memelihara keharmonian rumahtangga pelafaz. Ia juga menepati kehendak atau maqasid syariah yang sebenar, iaitu bertujuan melindungi dan memelihara agama, diri, akal, harta, keturunan dan maruah umat Islam dari terjerumus ke kancah kerosakkan dan kehancuran. Ini bertepatan dengan firman Allah Taala :


Bermaksud : ” jangan mencampakkan diri kamu kearah kebinasaan.”

Dengan itu, dalam kes ini talak ta’lik yang dibuat oleh suami dalam paksaan dan tanpa niat untuk menjatuhkan talak tak memberi kesan sekiranya berlaku syarat tersebut. Ia adalah sighah sumpah yang dibuat oleh pelafaz terhadap isterinya. Dan dengan sendirinya status lafaz ta’lik talak tersebut adalah terbatal.



Rujukan

1- Fatawa Kabir oleh ibn Taimiyyah

2- Fekh Sunnah oleh Sayyid Sabek

3- Feqh Islami Wa Adillatuhu oleh Wahbah Zuhaili

4- Al Mufassol Fi Ahkam Mir’ah Wa Baitul Muslim oleh Abdul Karim Zaidan.

5- Fekh Manhaji oleh Mustafa Khin, Mustafa bugha

6- Bulughul Maram syarah oleh Imam Son’ani.

7- Nailul Awthar oleh Ash Shaukani.

8- Maqasid Amah Lil Syariah Islamiah oleh Dr Abd Hamid Hamad

9- http://feqh.al-islam.com

10- Usul Feqh oleh Dr. Abdul Wahab Khallaf









Thursday, July 21, 2011

MADAH PERKENALAN

Seiring madah :-

pantun bersambut dalam senyum,
 penghidang tamu mesra berdakap kasih terpaut,
 persilakan tamu sambut di pintu,
Indah sungguh si bunga raya,
 Menjadi rebutan si Rama-rama ,
Marilah kita berkongsi idea ,
Agar berkembang ilmu bersama….

KITAR SEMULA

Blog ini dah lama didaftarkan tapi tidak digunakan, kerana ianya bermula kerana kesilapan saya tambahan pula waktu itu saya lebih suka menulis dan berkongsi apa yang saya tahu (penulisan formal) di blog saya yang ini. di wordpress, walaubagaimanapun setelah melihatkan agak sukar saya mengelola dua blog berlainan domain, maka saya terpanggil untuk menghidup dan memberi nafas baru kepada blog saya yang satu ni... dan blog yang wordpress tu saya akan tutup atau mungkin tidak akan aktif lagi..



Saya harap saya dapat menyampaikan apa yang saya perolehi kepada orang lain pula dan begitulah sebaliknya..kerana Ilmu Allah itu luas dan semakin digali semakin kita mencari.... Sebagaimana maksud hadis Rasulullah S.A.W :'Sampaikanlah olehmu daripadaku walaupun sepotong ayat"




 -nurpurnama-

Friday, May 15, 2009

SALAM PERKENALAN

Hai salam perkenalan,